Air Mata Aaron Aziz

November 24, 2011


Jika sebelum ini kebanyakan watak pelakon ini di layar perak ialah watak yang memerlukannya beraksi ganas dan adegan lasak. Namun, berbeza sekali penampilan pelakon Aaron Aziz dalam filem Ombak Rindu.

Dalam filem arahan Osman Ali, Aaron yang memegang peranan sebagai Hariz pada beberapa adegan mampu untuk mengalirkan air mata sekaligus membuatkan penonton terpesona dan terbuai dalam penghayatannya akan turut mengalirkan air mata.

“Memang saya cengeng dalam filem ini. Saya mengaku. Bila menghayati watak Hariz itu tiba-tiba air mata saya jatuh. Ia berlaku secara spontan kerana saya begitu taksub dengan watak tersebut. Saya harap penonton menyukainya dan berpeluang untuk menonton sendiri sisi lain yang ada dalam diri Aaron.” akui Aaron.

Sisi lain yang dimaksudkan adalah kredibiliti lakonannya yang boleh diletakkan cop terbaik berbanding filem-filemnya sebelum ini. Bukan sesuatu yang mudah untuk membawa watak Hariz yang pelbagai sifat dan emosinya. Lebih-lebih lagi apabila penggambaran filem ini dilakukan selepas Aaron beraksi lasak dalam filem K.L.Gangster.

“Kalau seseorang itu mahu menjadi pelakon, perlu ada “programme channelling”. Kita kena pandai tukar. Alhamdulillah untuk Aaron, ia berlaku dengan mudah. Ia mudah kerana kita ini manusia yang sentiasa diselubungi pelbagai perasaan. Sebagai manusia, mesti wujud perasaan sedih, kecewa, kehilangan, marah dan sebagainya.

“Kita kena pandai cari lah. Bila dah selalu buat, mungkin senang untuk kita dapat. Memang pada mulanya lambat, tapi lama kelamaan ia akan menjadi mudah,” terang Aaron yang mampu membuatkan hati kecil kita menangis sewaktu menonton filem tersebut.

Hero idaman masyarakat Melayu ini telah pun membintangi naskhah dari lima buah novel yang diadaptasi ke drama, teater atau pun filem. Antaranya teater Badai Semalam, drama Nora Elena (Kasih Suci), Stanza Cinta, Adam & Hawa dan yang terbaru filem Ombak Rindu.

“Sekiranya saya membintangi drama atau filem yang diadaptasi dari novel, saya tidak pernah membaca novel-novel tersebut. Saya dah bintangi drama/filem yang diadaptasi dari 5 buah novel, satu pun saya tidak pernah baca.

“Orang cakap bila membaca novel tersebut, ia akan membantu saya mendapatkan penghayatan dalam watak saya. Saya tidak gemar membaca novel sebelum berlakon. Sangat berbeza bila saya tidak membaca kerana apa yang diarahkan oleh pengarah dan skrip yang ditulis selalunya berbeza dengan novel. Oleh itu, saya lebih selesa untuk tidak membacanya. Saya lebih gemar mendapatkan rasa itu sendiri,” tambah Aaron lagi.


Melihatkan wajahnya yang sering menjadi pilihan penerbit untuk memegang watak dari novel yang selalunya ditulis oleh penulis wanita, Aaron tidak merasakan dia ialah lelaki sempurna yang selalu digambarkan oleh penulis novel.

“Saya tidak pernah memikirkan yang saya cukup sempurna untuk setiap produksi yang saya bintangi. Novel-novel tersebut telah pun ditulis dahulu sebelum saya membintangi naskhah tersebut. Mungkin pada pandangan penerbit yang merasakan watak-watak dalam novel tersebut yang sesuai dengan saya,” jelas Aaron yang baru saja selesai pementasan teater Badai Semalam di Istana Budaya pada Ahad lalu.

Berpuas-hati dengan hasil kerjanya dalam filem tersebut, Aaron yakin kerjasama sepasukan adalah kunci utama kejayaan menghasilkan filem itu.

“Jarang sekali kita dapat naskhah yang bagus. Pasukan teknikal yang bagus. Pelakon yang bagus. Keseluruhan produksi Ombak Rindu ini lengkap kesemuanya. Kita telah melaksanakan yang terbaik untuk memberikan keadilan kepada novel tersebut.

Filem Ombak Rindu turut dibintangi Maya Karin, Lisa Surihani, Azizah Mahzan, Normah Damanhuri, Zaidi Omar dan ramai lagi. Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Tarantella Pictures itu bakal menjengah pawagam pada 1 Disember depan.

You Might Also Like

3 comments

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images