Shahir Af8 Mahu Bersara??

August 14, 2011




PERKEMBANGAN terbaru tentang penyanyi Shahir yang dikatakan mahu ‘pencen’ awal dari dunia seni popular menarik untuk dikupas.

Saya berharap mereka yang selama ini banyak berhabis wang untuk mengundi Shahir sebagai juara Akademi Fantasia, janganlah marahkan dia pula apabila penyanyi itu dikatakan mahu mengambil keputusan untuk bersara awal.

Kalau marah tu, ‘buruk siku’ sangat namanya, betul tak?

Walaupun belum ada komen daripada tuan punya badan sendiri, tindak tanduk Shahir yang menyepi dan tidak endahkan media, peminat dan syarikat rakamannya sendiri, bagaikan membenarkan keputusan itu.

Berada di puncak popular pada ketika ini, tiba-tiba menghilang, sukar dikesan, susah ditemubual dan bersembunyi berbulan-bulan, itu bukan petanda yang baik bagi seorang artis popular seperti Shahir.

Kali terakhir Shahir muncul bertemu peminat ialah dalam Konsert Pancaindera di Melaka pada awal Jun lalu. Selepas itu, lesap terus tanpa berita.

Banyak majlis hiburan, majlis berbuka puasa Astro pada Selasa lalu pun, Shahir langsung tak muncul, apa sudah jadi?

Bukan maksud saya artis perlu melayan media setiap masa dan ketika, saya akui ada masanya mereka pun perlukan waktu untuk bersendiri, tetapi cara yang dipilih Shahir ketika ini lain benar.

Memang nampak sangat dia macam sudah tidak ‘kuasa’ untuk terus menjadi penyanyi walaupun khabarnya tawaran persembahan banyak mendatang.

Terbaru, khabarnya Shahir tidak sanggup lagi terus berada di landasan popular. Kalau tak salah, dia dikatakan mahu menceburi dunia dakwah dan berjuang melalui landasan keagamaan pula. Mana satu yang betul, tak dapat dipastikan sebab tuan badan tidak mahu bertemu langsung dengan orang media. SMS saya juga tidak dibalas Shahir.

Apa juga kemelut yang berlaku kepada juara AF yang kacak itu sekaligus membuktikan rancangan realiti tidak banyak membantu industri hiburan bergerak jauh ke depan.

Setakat ini juara AF yang betul-betul boleh dikatakan berjaya, sudah tentu Mawi. Stacy juga boleh dianggap berjaya selepas Mawi, mana lagi yang lain? Kalau 9 kali penganjuran, hanya melahirkan satu atau dua jaguh, mana bagusnya rancangan berkenaan?

Barangkali juga Shahir baru tersedar yang selama ini dia banyak diberikan mimpi-mimpi palsu semata-mata. Dimomokkan keindahan dunia artis sebelum ini, Shahir barangkali baru tersedar bahawa itu semua hanyalah dusta semata-mata.

Jadi, setelah berhadapan dengan realiti dunia hiburan sebenar di Malaysia, Shahir tidak sanggup untuk terus bertahan.

Saya percaya antara yang membuatkan artis yang punya kelulusan pelajaran macam Shahir kecewa adalah kerana pendapatan yang tidak setimpal dengan populariti.

Artis kita memang nampak gah, gilang gemilang, malah ada yang memandu kereta mewah ke hulu ke hilir. Realitinya, banyak yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Dunia seni di negara ini terlalu banyak retorik dan tidak menjamin masa depan yang gemilang.

Malah, penyanyi senior seperti Ziana Zain sendiri pernah memberitahu, untuk membeli sebuah rumah Semi D sekalipun, tidak ramai artis kita yang mampu.

Kalau itu jalan yang Shahir pilih, siapalah kita untuk menafikannya. Syarikat rakaman pun perlulah faham kalau ‘hati’ seseorang artis itu sudah tidak berapa ikhlas untuk berjuang di arena.

Cuma, perlulah berterus terang dan usah bermain tarik tali sehingga menyusahkan pihak lain. Shahir yang saya kenali, orangnya sangat baik, bercakap pun sangat lemah lembut dan tidak menyombong diri.

Malah, dia adalah seorang artis muda yang tahu apa yang dia inginkan dalam kerjaya.

Kalau dia memilih untuk bersara lebih awal, kita sama-sama doakan semoga dia berjaya dan bertemu dengan bahagia yang dia idam-idamkan.

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images