Nabil bangkit dengan kekuatan baru

June 13, 2011

KEKECEWAAN peserta solo tunggal Maharaja Lawak, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, akibat persembahan hambar pada minggu ke-9 dan ke-10 terubat di pentas Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan, Pahang, Jumaat lalu, apabila idea lawaknya bukan saja menjadi, malah berjaya membuat sebahagian penonton melompat dari kerusi kerana terlampau lucu.


Pada persembahan minggu ke-11 di lokasi kedua di luar Kuala Lumpur itu, peserta diberi dua tugasan menampilkan tema bebas dan penggunaan prop dengan setiap pusingan berdurasi 3.5 minit.
Nabil yang memikirkan undian diterima rendah kerana ada kaitan dengan dialog atau perbuatan sepanjang pertandingan berlangsung yang menyinggung perasaan penonton sehingga mempengaruhi persembahannya sempat menitipkan permohonan maaf ketika promo di luar.

Bangun dengan kekuatan baru, ditambah dengan pengurangan masa persembahan daripada tujuh minit sebelum ini memberi peluang kepada Nabil untuk menyajikan idea lawak lebih padat.
Malah, penggunaan prop juga memberi kelebihan kepada pemuda dari Negeri Sembilan itu beraksi dengan lebih mantap berikutan dia satu-satunya peserta yang mempertaruhkan komedi `stand-up.’

Aksi Nabil sebagai tukang urut refleksologi berbangsa Thai yang cuba berkomunikasi dalam Bahasa Melayu ketika menarik pelanggan dalam pusingan pertama berjaya menggeletek hati penonton termasuk juri profesional iaitu Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

Dalam tugasan kedua, Nabil mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan prop iaitu petola dan kuali serta siapa sangka bahawa kedua-dua alat itu boleh dijadikan jam dinding, UFO, kompas, puncak bukit, topi askar, peluncur, ular dan topeng pembedahan.

Hasilnya, Mamat memuji jenaka Nabil meningkat dan persembahannya kembali menyengat sehingga juri terhibur. Kenyataan Mamat disokong Saiful Apek yang memberi komen dalam pusingan kedua bahawa lawak petola dan kuali Nabil berjaya membuat penonton ketawa sehingga menitis air mata.

Mengulas mengenai turun naik persembahannya, Nabil berkata, dia sendiri tertanya-tanya mengapa aksinya tidak lagi sehebat seperti di awal pertandingan apabila didapati semakin menurun.

“Setiap hari saya tanya diri sendiri kenapa saya tidak lagi mendapat sambutan seperti dulu. Jika dulu apabila pengacara (AC Mizal) menyebut nama saya, penonton akan memberi sorakan paling kuat. Mungkin ada perkara yang saya cakap atau buat penonton tidak suka menyebabkan mereka tidak lagi bersorak sehingga mempengaruhi kualiti persembahan.

“Apapun, saya cepat sedar bahawa idea lawak datang umpama rezeki dan ia ditentukan Tuhan. Saya sentiasa berdoa untuk itu,” katanya yang ditemui selepas persembahan.


Dua tugasan yang diberi juga memberi kelebihan kepada duo pelawak gabungan Yazid Lim Mohd Aziz (Johan) dan Mohd Razizan Abdul Razak (Zizan) melalui Jozan apabila mereka memberi lebih banyak idea lawak.

Dalam tema bebas, Jozan menampilkan aksi seorang mat rock iaitu Zamri Rockers dilakonkan Zizan yang bosan tinggal sendirian di rumah sebelum cuba menonton pelbagai saluran Astro menerusi televisyen gergasi bagi menghilangkan kesunyian.

Kelucuan timbul apabila Johan meniru gaya pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah yang sedih dengan isu buang bayi sebelum bertukar menjadi penyanyi, Hafiz yang popular dengan lagu Awan Nano dan pembaca berita, Farid Ismeth Emir yang gemar menyelitkan peribahasa ketika bersiaran.

Menurut Johan, dia dan Zizan hanya menerapkan elemen biasa dan dekat di hati penonton dalam lawak mereka dengan menampilkan insan dikenali masyarakat terlebih dulu melalui karakter masing-masing.

“Umum sudah tahu siapa Dr Mohd Fadzilah, Hafiz dan Farid. Mereka ini ada trademark sendiri yang meninggalkan kesan di hati orang ramai lalu kami jelmakan semula dalam jenaka. Namun, kami juga melakukan kajian teliti setiap watak berkenaan supaya ia tidak janggal apabila diajuk semula,” katanya.

Manakala, pusingan berikutnya, Jozan berjaya mengaitkan penggunaan penyedut hampagas dan bangku lipat berkaki tiga menjadi telefon awam, motosikal berkuasa tinggi, joran, sudu garfu, alat snorkeling dan skuba, dalam plot penceritaan sehingga Mamat memberi komen bahawa jenaka mereka sudah kemuncak dan berjaya melakukan tanggungjawab sebagai penghibur.

Bagaimanapun, penggunaan prop kurang menjadi bagi kumpulan Jambu dianggotai Yusry Edoo dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) apabila alat pengering rambut dan seterika yang menjadi alat serba guna dalam rutin kehidupan tidak berjaya menambat hati juri.

Kata Saiful Apek, jenaka Jambu dalam pusingan pertama iaitu cubaan seorang pemuda lakonan Taukeh mengurat seorang gadis seksi (Yus) yang menari dalam disko gagal apabila gadis itu sebenarnya pegawai polis yang menyamar lebih bagus.


Yusry ketika ditanya mengenai persembahan Jambu tidak konsisten mengakui kekurangan latihan menggunakan peralatan diberi menjadi faktor mereka tidak dapat menonjolkan lebih banyak kreativiti.


“Kami hanya berlatih lawak jenaka dalam telefon kerana masing-masing sibuk dengan penggambaran drama. Jambu hanya bertemu sehari sebelum pertandingan dan mungkin disebabkan itu kami kurang mencungkil idea lawak menggunakan prop yang sepatutnya diperoleh jika lebih banyak masa diluangkan bersama,” katanya.

Satu lagi kumpulan yang tidak bernasib baik dalam pusingan kedua adalah R2 yang dianggotai adik-beradik, Ridhzuan dan Rahim Mat Ali apabila jenaka mereka mengenai bangku plastik menjadi lampin dewasa tidak mengundang kelucuan.


Bagi kumpulan Sepah dibarisi Mohd Noor Murad (Mamat), Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd Nazdri Zainal Abidin (Jep), mereka berjaya menyempurnakan dua tugasan dengan baik dan mendapat ulasan positif daripada juri sekali gus menarik perhatian 3,000 penonton.

Selepas undian ditutup, kedudukan masing-masing tidak berubah dan angka peratusan meningkat apabila Jozan memperoleh 62 peratus, Sepah (55 peratus), Nabil (54 peratus), Jambu (51 peratus) dan R2 (33 peratus).

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images