Kejayaan insafkan Sepah Maharaja Lawak

June 27, 2011

Sebaik saja melangkah masuk ke Stadium Malawati, Shah Alam di mana lokasi pertandingan akhir Maharaja Lawak berlangsung Jumaat lalu kedengaran sorakan penyokong Jozan yang dianggotai Mohd Yazid Lim Mohd Aziz atau Johan dan Mohd Razizan Abdul Razak (Zizan) menguasai seluruh ruang.




Melihat kepada perkembangan itu sudah tentu ramai beranggapan bahawa Maharaja Lawak milik Jozan. Perkara sama turut dirasai juri tetap rancangan yang diterbitkan Astro bagi saluran Astro Warna iaitu pengarah Mamat Khalid, Ahmad Idham dan pelawak senior, Mohd Saifulazam Mohamed atau Saiful Apek.

Menjelaskan mengenai perkara itu, pada majlis sidang media sebaik acara tamat, Mamat Khalid mewakili juri tetap lain berkata, pihaknya memang berasakan bahawa Jozan akan muncul juara berdasarkan persembahan hebat dilakukan Johan dan Zizan setiap minggu. Lebih daripada itu juri pada awalnya turut berpendapat sokongan padu yang diterima dua pelawak ini membolehkan undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berpihak kepada mereka.

Apa yang dijelaskan Mamat memang benar kerana sebelum persaingan bermula, undian awal SMS diumumkan pengacara Maharaja Lawak, AC Mizal menunjukkan Jozan mendahului peserta lain dengan 34 peratus dan dan diikuti Sepah 28 peratus. Satu-Satunya peserta solo Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil memperoleh 25 peratus dan akhir sekali kumpulan Jambu dengan 13 peratus. Dinilai dari situasi yang disenaraikan ini sudah tentu kemenangan Sepah malam Sabtu lalu di hadapan lebih 5,000 orang yang memenuhi Stadium Malawati berupa satu kejutan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan kemenangan Sepah, jelas Mamat, walaupun pada peringkat awal juri berasakan Jozan bakal juara namun sebaik persaingan bermula pendirian mereka berubah.

"Kalau melihat kepada prestasi Jozan selama 12 minggu sepanjang Maharaja Lawak diadakan dan sokongan besar diterima memang kami akui Jozan patut menang. "Bagaimanapun pada malam akhir persaingan kami tidak mahu bertindak berat-sebelah. Kemenangan harus diberikan kepada mereka yang layak dan menilai dari dua persembahan diadakan peserta menampilkan tema bebas pada pusingan pertama dan muzikal di pusingan kedua, ternyata Sepah paling menonjol," katanya.

Kejutan keputusan Maharaja Lawak bukan saja dirasai penonton setia, tetapi juga anggota Sepah sendiri iaitu Mohd Noor Murad atau Mamat, Shahmira Muhammad (Shuib) dan Mohd Nazdri Zainal Abidin (Jep). Sehinggakan sewaktu diumumkan juara, ketiga-tiga mereka menangis kerana tidak dapat menyembunyikan perasaan terharu.

Pada sidang media, Jep mewakili anggota Sepah lain menjelaskan mereka menangis kerana terharu dan benar-benar bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa mereka akan menjadi juara memandangkan pesaing lain juga tidak kurang hebatnya terutamanya Jozan yang ada ramai penyokong dan sedia popular.

"Setiap kali muncul di pentas, kami cuba menghiburkan penonton dan peminat. Itu saja yang ada dalam kepala dan tidak lebih daripada itu. Apabila diumumkan juara itu yang membuatkan kami tergamam...benar-benar terharu!" katanya. Jelas Jep lagi, dia benar-benar bersyukur dengan rezeki yang diberikan Tuhan walaupun hendak diikutkan dia bukanlah seorang hamba yang benar-benar taat dan soleh.

"Apa yang membuatkan kami menangis adalah apabila mengenangkan kami sebagai hamba Allah s.w.t yang tidak sempurna. Malah menghadap-Nya, sehari belum tentu lengkap lima waktu. Tapi Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia tetap memberikan kami rezeki ini. Kemenangan ini membuatkan saya berasa sangat kerdil di sisi-Nya. "Kemenangan ini secara tidak langsung mengurangkan beban kewangan yang perlu ditanggung selama ini," katanya.

Ternyata kemenangan Sepah yang berasal dari Johor itu boleh dianggap sebagai satu kebangkitan kerana sebaik muncul juara Raja Lawak musim ketiga, pelbagai kontroversi dikaitkan dengan mereka termasuklah hubungan dingin dengan media dan perselisihan faham dalaman.

Menyentuh mengenai perkara itu, jelas Jep, perselisihan faham antara mereka adalah perkara normal. Malah, sepanjang raptai penuh mereka turut berselisih faham membabitkan idea mahu diketengahkan. Begitupun perselisihan faham yang berlaku itu jelas mereka menguatkan lagi hubungan, sekali gus membantu Sepah memberikan corak persembahan mantap.

Bercerita mengenai persediaan untuk persembahan dilakukan jelas Sepah mereka tidak mengambil masa lama untuk memikirkannya dan semua di buat di saat akhir. Selaku juara Maharaja Lawak, Sepah menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM350,000 dan piala iringan. Sementara itu Jozan yang dijangka bakal juara langsung tidak kecewa langsung apabila tewas kepada Sepah. Bagi mereka corak persembahan dan lawak yang dilakukan diterima peminat itu sudah dianggap satu kemenangan.

Jelas Zizan, dia mahupun Johan tidak dinafikan pada malam pertandingan akhir mereka lihat Sepah mempunyai kelebihan untuk menang kerana lawak ditampilkan sangat dekat dengan masyarakat Melayu.

"Orang senang hendak menerima apa yang cuba mereka persembahkan dan kekuatan mereka terletak kepada kedua-dua persembahan. Berbeza dengan kami, tidak dinafikan untuk persembahan pertama yang kami tampilkan agak longgar, cuma persembahan kedua bertemakan muzikal yang secara peribadi kami akui menarik dan puas pengisiannya," katanya. Selaku naib juara Jozan menerima hadiah wang tunai RM250,000.

Bagi Nabil pula yang memenangi tempat ketiga, dia cukup berpuas hati apabila layak ke peringkat akhir Maharaja Lawak dan tidak terfikir soal kemenangan. Tambahan pula, melihat daripada sambutan peminat dia sudah dapat menduga siapa bakal juara. Pada malam itu pelawak berasal dari Negeri Sembilan itu menerima wang tunai lumayan berjumlah RM150,000. Jambu yang dianggotai Yusri Edoo atau Yus dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) mereka bersyukur apabila layak ke peringkat akhir. Kekurangan latihan memandangkan kedua-duanya sibuk dengan penggambaran drama dan filem menyebabkan mereka tidak dapat memberi fokus bagi membuat persediaan.

Jelas Yus, dia dan Taukeh hanya sempat berbincang mengenai corak persembahan menerusi talian telefon dan ia hanya dapat direalisasikan sewaktu sesi raptai penuh dilakukan sebelum pertandingan akhir dijalankan. Berada di tempat keempat, Jambu menerima wang tunai berjumlah RM50,000.

Apa yang pasti, dunia jenaka Raja Lawak kini mencetuskan menewaskan satu fenomena baru dalam warna hiburan Malaysia mengatasi program realiti TV lain. Tahniah buat mereka.

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images