Blog Cik Emma: Ombak Rindu Yang Menjanjikan Air Mata

02 December 2011

Ombak Rindu Yang Menjanjikan Air Mata


Diadaptasi ke layar perak dari sebuah novel popular karya Fauziah Ashari, Ombak Rindu pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat novel tersebut. Disokong pelakon terkenal masa kini iaitu Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani dan Bront Palarae, tentunya berbekalkan trofi yang pernah diraih mereka, filem ini menjanjikan sesuatu kepada peminat filem tempatan.

Paling utama, pengarah yang menggarap novel tersebut ke layar perak juga bukan calang-calang orang. Pernah meraih trofi Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin baru-baru ini, Osman Ali satu nama yang tidak perlu dipertikaikan hasil kerja seninya bermula yang pertama dengan Bukak Api hingga kini. (kecuali Puaka Tebing Biru).


Ombak Rindu menjanjikan air mata. Penonton boleh memilih pada siapa yang hendak mereka berikan air mata tersebut. Sama ada pada Aaron Aziz yang memegang peranan sebagai Hariz atau Maya Karin sebagai Izzah atau Lisa Surihani sebagai Mila Amylia. Tidak salah juga kalau diberikan air mata itu pada Bront Palarae yang memegang peranan sebagai Mail.

Setiap peranan dilakonkan dengan cukup meyakinkan terutama sekali watak Hariz yang digalas oleh Aaron Aziz. Hariz cukup meyakinkan terutama pada babak seorang lelaki bengis yang akhirnya tunduk pada harapan Izzah. Lakonan Aaron yang lebih berwarna pada kali ini jelas sekali dipersembahkan dengan cukup baik oleh pelakon tersebut.

Begitu juga dengan Izzah lakonan Maya Karin. Sebagai gadis kampung yang naïf dan perlu diperdagangkan maruahnya, Maya berjaya kali ini untuk membuatkan penonton merasai penderitaannya yang terpaksa mengharap belas Hariz. Semuanya dilakukan Izzah bagi menghalalkan hubungan terlarang mereka atas nama agama. Izzah yang merelakan perkahwinan suaminya dengan Mila akan lebih meruntun hati penonton.







Jika penonton mahu menyaksikan sesuatu yang berbeza pada lakonan Lisa Surihani, inilah filem yang wajib ditonton oleh semua. Watak Lisa sebagai Mila Amylia lebih berat berbanding lakonan dalam filemnya terdahulu. Ada ketika kasihan pada Mila yang berusaha mendapatkan cinta Hariz dan merubah menjadi benci apabila Mila bersifat agak keterlaluan. Babak Mila berdepan dengan Izzah cukup mengagumkan sekaligus melengkapkan transformasi watak pelbagai Mila itu sendiri.


Bront Palarae sebagai Mail juga baik. Walaupun babak yang melibatkannya tidak banyak, namun kelibat Mail dalam filem itu diingati penonton kerana walaupun lakonannya biasa tetapi cukup berjiwa sebagai pemuda kampung yang cuba menagih cinta dari Izzah.

Kesimpulannya, seksual cukup memainkan peranan yang penting dalam filem ini. Lihat sendiri bagaimana Hariz akhirnya tunduk pada Izzah dan bagaimana keinginan Mila Amylia yang cukup dahagakan kasih sayang dan cinta Hariz. Keinginan Mail menagih cinta Izzah juga bersandarkan seksual tetapi masih berpegang pada budaya kampungnya. Berbeza sekali gaya orang bandar dan orang kampung menagih cinta dapat dilihat pada watak Mila dan Mail. Persoalan pokok filem ini masih berpaksikan seksual.

Tidak dapat dinafikan peranan muzik latar yang cukup melodramatik turut menjadi elemen utama mempermainkan emosi penonton. Namun ada ketikanya, muzik latar tersebut dimainkan terlalu kerap sehingga menyebabkan muzik latar itu menjadi taruhan yang cukup besar untuk meraih air mata penonton.

Sinopsis


Ombak Rindu mengisahkan tentang kehidupan Izzah, ustazah dari kampung yang dijual dan dipaksa menjadi pelacur oleh pakciknya di sebuah kelab di Kuala Lumpur. Hariz, pelanggan lelaki "playboy" pertamanya telah dirayu agar menikahinya demi menyelamatkannya dari sarang maksiat itu. Haris pada awalnya keberatan, akhirnya menuruti permintaan Izzah, lalu membawanya pulang ke rumah, suatu perkara murni yang lama tidak dilakukannya.

Niat Haris adalah untuk menjadikan Izzah sebagai tempat melepaskan nafsunya apabila dia mahu. Haris akhirnya semakin menyayangi Izzah dan cinta mereka mula berputik. Hidup mereka semakin bahagia namun desakan ibunya, Datuk Sufiah dan tunangnya, Mila Amylia merubah segalanya. Mampukah cinta Izzah dan Haris bertahan? Ombak Rindu menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Disember 2011.


Sumber : Gua.com.my

No comments:

 
Copyright© All Right Reserved by Cik Emma