Blog Cik Emma: ‘Kami tidak berpecah’-Sepah

04 August 2011

‘Kami tidak berpecah’-Sepah




DIANGGOTAI tiga anak muda, bakat yang dicungkil daripada program realiti televisyen Raja Lawak dan Maharaja Lawak mengukuhkan nama mereka di arena industri seni.

Kemenangan mereka ketika berentap di gelanggang Maharaja Lawak sudah dijangkakan berdasarkan persembahan mereka yang konsisten setiap kali membuat persembahan.
Mengalahkan Jozan dan Nabil, persembahan menarik dan bersahaja kumpulan Sepah berjaya memikat hati penonton sekali gus membawa gelaran juara pada malam pertandingan akhir Maharaja Lawak.

Selepas kemenangan itu, nama mereka bertiga antara yang sering menjadi sebutan dan semakin hangat di pasaran. Jika pepatah lama mengatakan, ‘habis madu sepah dibuang’ berlainan dengan kumpulan ini yang lepas habis madu, Sepah tidak pernah habis.


Dianggotai Jep, Shuib dan Mamat, mereka kini terpalit dengan kontroversi yang mengatakan Sepah akan membaca haluan masing-masing kerana tekanan yang dihadapi ketika menyertai program Maharaja Lawak.


Mengenai isu perpecahan Sepah yang timbul ketika masing-masing tertekan memikirkan idea untuk dipersembahkan beberapa jam sebelum arena pertandingan Maharaja Lawak bermula, Jep mengakui beban yang mereka pikul ternyata sangat hebat, hingga terfikir untuk membubarkan Sepah.

Jep mengakui perbalahan dan pertelingkahan sering berlaku dalam kumpulan mereka kerana ada kalanya masalah ditimbulkan ahli kumpulan Sepah sendiri dan seolah-olah mereka tidak serius dengan kerja mereka.

“Saya akui, kami sering bertekak dan bertikam lidah kerana masing-masing mempunyai idea sendiri untuk dipersembahkan kepada penonton. Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk kami berpecah.

“Pada dasarnya, kami masih lagi satu kumpulan. Mungkin satu hari nanti kami akan berpecah tapi bukan dalam masa terdekat ini. Kami bergerak mengikut permintaan dan rezeki masing-masing. Sekiranya ada permintaan untuk kami membuat persembahan, kami akan menunaikan permintaan itu.

“Begitu juga jika ada pihak yang mahu seorang daripada kami untuk membuat persembahan, ahli kumpulan yang lain tidak akan menghalang. Itu rezeki masing-masing yang diberikan Allah. Kami tidak ada hak untuk menyekat rezeki sesiapa pun,” katanya ketika ditemui untuk rakaman Gegar Raya Merdeka di Angkasapuri, baru-baru ini.

Sudah pasti ramai peminat dan penyokong Sepah yang tidak mahu mereka berpecah kerana ketiga-tiga mereka sudah mencipta nama menerusi kumpulan Sepah tambahan pula tiga anak muda itu sudah sinonim dengan kumpulan yang memartabatkan mereka di persada seni.

Sepah yang dikatakan bakal membuat persembahan dalam program terbaru Astro Warna, Lawak Minggu Ini menafikan kenyataan berkenaan kerana sehingga ke hari ini pihak Astro belum menghubungi mereka untuk menerangkan program itu.

“Astro langsung tidak memaklumkan kami mengenai program itu, tidak ada hitam putih. Konsep persembahan pun kami tidak tahu.

“Kami hanya dimaklumkan rakan untuk membuat persembahan program itu dan nama Sepah ada dicetak pada banner, tetapi secara peribadi kami tidak akan membuat persembahan kerana sehingga kini kami masih tidak mendapat apa-apa maklumat mengenai program itu,” kata Mamat menerangkan keadaan.

Apapun, rakaman Gegar Raya Merdeka di Auditorium Perdana, Sabtu lalu persembahan pertama Jep selepas Maharaja Lawak menutup arena pertandingan.

Kata Jep, dia mengalami masalah kesihatan dan berehat di kampung.

Bagaimanapun, Jep enggan mengulas lanjut mengenai penyakit yang dihadapinya dan hanya mengatakan dia baru sembuh daripada penyakit dan berehat di kampung.

No comments:

 
Copyright© All Right Reserved by Cik Emma